Motosikal terbabas dalam parit, seorang lelaki Indonesia temui ajal

Keadaan mangsa yang ditemui mati di dalam parit.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 20: Seorang lelaki warga Indonesia menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas lalu terhumban masuk ke dalam parit di Jalan Demak Laut di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 4.20 pagi itu mengakibatkan mangsa, Hamdani, 28, seorang pekerja am di sebuah kilang di Pending disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, berdasarkan laporan awal, mangsa dikatakan telah meminjam motosikal seorang pengawal keselamatan kilang di situ untuk keluar kira-kira pukul 3 pagi.

Katanya, sebelum itu mangsa dikatakan telah menghadiri satu program makan malam yang dianjurkan di tempat kerjanya.

“Bagaimanapun, malang menimpa mangsa apabila motosikal Honda Wave yang ditunggangnya dipercayai terbabas lalu terhumban masuk ke dalam sebuah parit di bahu jalan berkenaan.

“Lebih malang, bahagian kepala mangsa tercucuk dengan batang besi di dalam parit tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson menambah, mayat mangsa hanya ditemui oleh orang awam pada pukul 8.20 pagi.

Katanya, orang awam kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily