Oleh DayakDaily Team
KUCHING, 28 Julai: Trend pembakaran terbuka di Sarawak sejak Isnin lepas (22 Julai) sangat membimbangkan.
Menurut laporan TVS, Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata ia apabila jumlah kes mencatatkan peningkatan mendadak semalam.
Katanya, sebanyak 68 kes dilaporkan melibatkan keluasan lebih 59 hektar sepanjang tempoh enam hari berkenaan.
“Bagi kebanyakan kes, kebakaran adalah disengajakan, bukan sahaja untuk pertanian malah bagi tujuan pembakaran sisa kayu, kertas atau sampah dan gagal dikawal apabila api merebak.
“’Trend’ pembakaran terbuka menunjukkan peningkatan mendadak dan jumlah kes pembakaran tertinggi dicatatkan pada hari Sabtu (27 Julai) iaitu peningkatan sebanyak 87 peratus.
“Kalau melihat kepada ‘trend’ yang berlaku menunjukkan peningkatan dalam aktiviti pembakaran terbuka setiap hari dan keadaan semalam, sebanyak 28 kes kebakaran terbuka merupakan yang tertinggi dan sangat membimbangkan berbanding hari sebelumnya 15 kes sahaja,” katanya.
Tambah Tiong, kes seumpama itu dapat dielak sekiranya orang awam bersama-sama menghentikan segala bentuk aktiviti pembakaran terbuka sepanjang musim cuaca panas dan kering ketika ini.
Justeru ujar beliau, JBPM akan meningkatkan kerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak dengan mengadakan kempen elakkan pembakaran terbuka melalui hebahan media dan advokasi ke lapangan. — DayakDaily