Pemantauan susulan lihat komplikasi jangka panjang

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Advertisement

Oleh Cornelius Kadir Edison

PUTRAJAYA, 21 Okt: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa melakukan pemantauan susulan terhadap pesakit yang telah pulih daripada jangkitan Covid-19 bagi melihat komplikasi atau kesan jangka panjang jangkitan tersebut terhadap mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pesakit yang tidak mempunyai simptom jangkitan akan sembuh dengan baik sebaliknya pesakit dalam kategori empat dan lima memerlukan pemerhatian susulan dengan KKM.

Advertisement

“Ketika ini, pemerhatian susulan yang kita lakukan terhadap pesakit yang sembuh daripada Covid-19 adalah 10 bulan kerana pengalaman kita berkaitan pandemik ini adalah 10 bulan iaitu setiap tiga bulan akan ada susulan dengan pesakit yang telah sembuh.

“Masih agak awal untuk kita melihat kepada kesan komplikasi jangka panjang pesakit yang sembuh terutamanya pesakit dalam ketagori empat dan lima yang mana jangkitan tersebut merebak ke paru-paru mereka,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di sini.

Katanya, jangkitan di paru-paru pesakit dalam kategori empat dan lima tersebut dibimbangi boleh mengakibatkan terbentuknya fibrosis pada jangka masa panjang yang akan memberi kesan kepada sistem Pernafasan pesakit terlibat.

Noor Hisham berkata terdapat laporan daripada negara lain menyatakan pesakit Covid-19 yang telah sembuh mengalami beberapa simptom seperti kelesuan, amnesia dan sebagainya.

Namun begitu simptom tersebut agak lemah dan memerlukan pemerhatian lanjut bagi membolehkan ia di dokumnetasikan sebagai rujukan di masa hadapan.

Sementara ini, Dr Noor Hisham memberitahu sejumlah 732 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan kes positif kini 22,957 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 7,827.

Katanya, Sabah kekal mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 535 kes diikuti Selangor (116), Kuala Lumpur (26), Pulau Pinang (12), Negeri Sembilan (9), Pulau Pinang (9), Kedah (7), Perak (7), Putrajaya (6), Melaka (3), Kelantan dan Pahang masing-masing satu kes.

“Enam kematian turut dilaporkan hari ini iaitu lima di Sabah dan satu di Labuan menjadikan jumlah kematian akibat Covid-19 di seluruh negara meningkat kepada 199 kematian,”katanya. –DayakDaily

Advertisement