Polis Padawan berkas enam individu terlibat judi atas talian

Anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BJSD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan memeriksa peralatan dan sistem yang digunakan oleh suspek untuk menjalankan aktiviti judi atas talian.

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 21 Okt: Enam individu berumur 21 hingga 24 tahun diberkas selepas disyaki terlibat dengan aktiviti perjudian atas talian di sebuah premis di kawasan Kota Sentosa semalam.

Serbuan dijalankan sekitar 4.45 petang oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan susulan maklumat dan risikan yang dilakukan di kawasan terbabit.

Ketua Polis Daerah Padawan Superitenden Aidil Bolhassan berkata, siasatan awal mendapati premis terbabit iaitu satu unit kondominum disewa oleh sindiket tersebut untuk dijadikan sebagai pusat panggilan judi atas talian.

Katanya, enam suspek yang ditahan dalam serbuan tersebut merupakan perkerja di pusat itu dan dibayar gaji sebanyak RM1,500 sebulan.

enam suspek yang ditahan berumur 21 hingga 24 tahun.

“Sindiket dipercayai telah beroperasi lebih kurang 3 bulan dan laman sesawang judi yang digunakan oleh sindiket ialah 918 Kiss, Kiss Kaya, Mega 888 dan Pussy 888 serta waktu beroperasi adalah 24 jam.

“Sindiket ini juga mampu mengaut keuntunggan kasar mencecah sehingga RM210,000 sebulan atau lebih kurang RM7,000 sehari,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kata Aidil, polis turut merampas peralatan komputer, modem, alat perakam video dan buku rekod transaksi bank dalam serbuan berkenaan.

“Kesemua suspek dirakamkan percakapan untuk siasatan lebih terperinci dan akan dituduh dibawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya. -DayakDaily