Pemandu van tahan sakit 30 minit akibat tersepit

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Advertisement

KUCHING, Mac 12: Seorang pemandu van terpaksa menahan kesakitan selama kira-kira 30 minit akibat tersepit selepas kenderaan yang dipandunya merempuh belakang sebuah bas ekspres di Jalan Dato Tawi Sli di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, seorang lelaki telah tersepit di tempat duduk pemandu setelah van yang dipandunya melanggar bas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.49 tengah malam.

Advertisement

Katanya, sejurus menerima laporan itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati mangsa masih tersepit di tempat duduk pemandu.

“Bagaimanapun, pemandu van Perodua Rusa itu masih mampu memberi respons meskipun dalam keadaan cedera dan tersepit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa yang tersepit dibawa ke hospital.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat.

Katanya, pihak mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa.

“Selepas berjaya mengeluarkan mangsa, pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sambil menambah, operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 1.20 pagi. — DayakDaily

Advertisement