Pemandu Toyota Hilux nyaris maut, kenderaan dipandu terbakar

Anggota bomba berusaha memadam api yang sedang marak membakar sebuah Toyota Hilux.

KUCHING, Feb 17: Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda nyaris maut apabila Toyota Hilux yang dipandunya tiba-tiba terbakar sebelum meletup di Jambatan Batu Lintang sini malam tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Kuching, Johari Dzukifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 8.34 malam.

Katanya, sejurus menerima laporan insiden itu, 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang dikerahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja pemadaman api.


“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api masih marak membakar kenderaan pacuan empat roda itu.

“Pasukan bomba kemudian melakukan kerja-kerja pemadaman api. Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang mangsa berada dalam Toyota Hilux berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Johari menambah, pemandu kenderaan itu berjaya keluar menyelamatkan diri selepas menyedari kenderaan tersebut terbakar.

Katanya, operasi tamat sepenuhnya selepas kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu masih lagi dalam siasatan,” ujarnya lagi. — DayakDaily