Nancy raikan sambutan Tahun Baru Cina bersama masyarakat di Batang Sadong

Nancy (tengah) merakamkan gambar bersama rombongan semasa mengadakan kunjungan rumah terbuka di Batang Sadong.

SIMUNJAN, Feb 17: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Nancy Shukri semalam meraikan sambutan perayaan Tahun Baru Cina bersama masyarakat Cina di kawasan Parlimen Batang Sadong.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong turut disertai suaminya, Kamil Misuari dan ADUN Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo.

Antara rumah pemimpin masyarakat yang dkunjungi beliau ialah Penghulu Kampung Jemukan Chung Kuet Jin, Kapitan Kampung Jemukan Boon Ted Shin, dan Yang DiPertua PIBG SMK Sadong Jaya Teo Thuan Teng.


Bercakap ketika ditemui pemberita, Nancy berkata, penganjuran rumah terbuka yang diadakan sempena Tahun Baru Cina memberi peluang rakyat pelbagai kaum di negeri ini mengeratkan silaturrahim tanpa mengira agama.

Beliau juga berharap tahun anjing yang amat sinonim dengan ciri kesetiaan anjing turut dizahirkan oleh rakyat kepada kerajaan.

“Ini kerana kerajaan telah banyak melakukan pelbagai transformasi untuk membangunkan negara dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang dikagumi masyarakat dunia,” katanya lagi. ā€” DayakDaily