Dua penunggang motosikal temui ajal

Keadaan kemalangan melibatkan dua buah motosikal di KM20, Jalan Samarahan-Asajaya.

SAMARAHAN, Feb 17: Malang menimpa dua lelaki apabila mereka maut dalam nahas melibatkan dua buah motosikal di KM20, Jalan Samarahan-Asajaya di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, kejadian pada pukul 8.20 malam itu mengakibatkan dua mangsa, Annuar Daniel, 44, dan Dickson Gumbak Karin, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang oleh Dickson yang datang dari arah Asajaya ke Samarahan bertembung dengan motosikal yang ditunggang Annuar.

“Kesan perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua lelaki tersebut tercampak ke atas jalan raya.

“Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, mayat kedua-dua mangsa sudah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily

Share this article!