TATAU, April 13: Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda berdepan detik mencemaskan apabila Mitsubishi Pajero yang dipandunya tiba-tiba terbakar sebelum meletup dalam satu kejadian di Simpang Semamuk, Tatau di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, pemandu Mitsubishi Pajero yang dikenalpasti sebagai Jani Jantai selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau, Rowlin Asong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.17 petang.
Katanya, sejurus menerima maklumat insiden, sepasukan enam anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja susulan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sebuah Mitsubishi Pajero dalam keadaan terbakar 100 peratus.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kenderaan tersebut selamat selepas dia berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rowlin menambah, pasukan bomba membuat pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki, dua nozzel air dari tangki jentera sehingga api padam sepenuhnya.
“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.25 petang,” katanya lagi. — DayakDaily