Pemandu maut dihempap jengkaut

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa

Oleh Dean Adam

SERIAN, Okt 31: Seorang lelaki warga emas maut selepas jengkaut yang dibawanya hilang kawalan lalu terbalik dan menghempap dirinya di sebuah kawasan berbukit di Rayang di sini tengah malam tadi.

Bagaimanapun, mangsa, Thian Shee Hiun, 70, hanya berjaya dikeluarkan kira-kira 15 jam kemudian iaitu kira-kira pukul 3.22 petang.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, operasi penyelamatan agak sukar kerana kawasan tempat kejadian melalui pendakian kawasan bukit sejauh 45 minit.

Katanya, bantuan jentolak dari syarikat yang berdekatan turut digunakan untuk menstabilkan jentera yang menimpa mangsa tersebut.

“Mangsa berjaya dikeluarkan pukul 3.22 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

“Operasi ditamatkan pada pukul 4 petang selepas mayat mangsa dihantar ke Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, sebelum itu, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 12.31 tengah malam.

Jelasnya, sepasukan anggota lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian kemudian bergegas ke lokasi bagi melakukan operasi mengeluarkan mangsa.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati mangsa dalam keadaan dihempap sebelum operasi mengeluarkan mangsa dilakukan,” katanya. — DayakDaily