Pemandu maut akibat tercampak keluar dan terperosok di bawah lori

Keadaan mangsa yang terperosok di bawah lori.
Advertisement

BINTULU, Feb 2: Seorang pemandu lori maut selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori lain di KM60 Jalan Bintulu-Miri di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa, Phang Chan Phiaw, 67, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Bintulu menuju ke Miri.

Advertisement

Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, lori yang dipandu mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan berkenaan.

“Impak rempuhan kuat itu mengakibatkan mangsa tercampak keluar dari lori dan ditemui terperosok di bawah lori.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca akibat kecuaian mangsa yang hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

Katanya, seorang lagi pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement