Pemandu lori temui ajal, lori dipandu terbabas masuk dalam parit

Pihak Bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.

KANOWIT, Dis 13: Seorang pemandu lori menemui ajal selepas lori yang dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam parit di Jalan Taan Aman, berhampiran Pasar Durin di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi, mangsa, Kong Shion Foh, 61, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan dalaman yang dialaminya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, DSP Bingkok John berkata, sebelum kejadian, mangsa yang memandu lori itu seorang diri dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Sungai Durin di sini.

Bagaimanapun katanya, malang menimpa lelaki warga emas terbabit apabila lori yang dipandunya tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan terjunam masuk ke dalam parit di bahu jalan berkenaan.

“Insiden itu mengakibatkan mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan tidak sedarkan diri.

“Pasukan Bomba turut berada di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Bingkok memberitahu, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kemalangan mengesahkan kematian mangsa.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bomba memberitahu, pihak Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 7.58 pagi.

Katanya, enam anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit digerakkan ke lokasi kemalangan untuk melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Operasi mengeluarkan mangsa tamat sepenuhnya pada pukul 9.35 pagi,” ujarnya lagi. ā€” DayakDaily