Pemandu lori miliki dadah ditangkap di Mukah

PDRM logo

MUKAH, 22 Ogos: Seorang pemandu lori ditangkap selepas disyaki terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah di Jalan Mukah-Balingian, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah dan Dadah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah dalam Op Tapis sekitar jam 10.35 pagi.

Katanya, pemeriksaan ke atas beg silang suspek membawa kepada penemuan dua paket plastrik lutsinar dan satu keratan straw lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 19.81 gram.


“Dadah tersebut dirampas dan suspek kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk disiasat.

“Hasil ujian awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan semalam.

Suspek kini ditahan reman di bawah Seksyen 39a(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Suspek dipercayai mula terjebak dengan dadah sejak Jun lepas. — DayakDaily