Amalkan budaya inovasi dan kreativiti — Snowdan

Snowdan berucap di Majlis Penutupan Mini Konvensyen Kumpulan Inovasi Dan Kreatif (KIK).

KUCHING, 22 Ogos: Setiap agensi kerajaan digesa untuk memperkasa serta memperkukuhkan lagi budaya inovasi dan kreativiti dikalangan warga kerja.

Menurut Timbalan Menteri Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, perlaksanaan inovasi dilakukan oleh mereka yang berfikiran kreatif dan kritis untuk menjadi peneraju dan meraih peluang maksimum.

“Cetusan idea baru bukan sahaja dapat menghasilkan teknologi baru, memperbaiki kualiti sesuatu benda atau menyelesaikan masalah.

“Malahan dapat mengubah ketamadunan manusia samada melalui penciptaan nilai serta penambahan nilai, ” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Penutupan Mini Konvensyen Kumpulan Inovasi Dan Kreatif (KIK) di sebuah hotel di sini, malam ini.

Tambah Snowdan, jabatan kerajaan perlu sentiasa mengorak langkah untuk menggunakan pendekatan baharu dan berbeza dalam melaksanakan sesuatu dasar dan perkhidmatan.

Katanya, ia seiring dengan perubahan teknologi digital dan corak pembangunan negara yang semakin pesat.

“Kita perlu berfikir secara luar biasa di luar kotak kelaziman untuk menyampaikan perkhidmatan yang lebih berkualiti iaitu yang dapat memenuhi kehendak dan aspirasi pelanggan,” ujarnya.

Mini Konvensyen KIK pada tahun ini disertai sebanyak 8 kumpulan dan melibatkan 5 agensi termasuk kementerian kecuali Majlis Kraf Sarawak. — DayakDaily