Pemandu lori maut dalam kemalangan kendiri di Jalan Betong-Sarikei

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Advertisement

BETONG, 12 Feb: Seorang pemandu lori disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah dalam kemalangan di Kilometer 94 Jalan Betong-Sarikei, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa berusia 39 tahun dan berasal dari Blok L Flat Sibujaya, Sibu.

Katanya, mangsa semasa kejadian memandu sebuah lori apabila dikatakan hilang kawalan lalu terbabas melanggar penghadang besi jalan sehingga lori tersebut rebah ke sebelah kanan.

Advertisement

“Mangsa dipercayai telah tersepit dan dikeluarkan oleh pihak bomba yang mana mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke bilik mayat Hospital Betong untuk pemeriksaan lanjut.

Kes tersebut masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily

Advertisement