Empat orang hilang tempat tinggal, rumah hangus dalam kebakaran di Kpg Hulu Sri Aman

Pasukan bomba sedang memadam kebakaran.

SRI AMAN, 13 Feb: Sebuah rumah di Kampung Hulu Sri Aman dilaporkan musnah kebakaran lewat tengah malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.22 tengah malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman diketuai Pegawai Bomba Kanan Tony Morni dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kebakatan melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal 1 tingkat telah terbakar 100 peratus.

“Anggota bomba bertindak memadam kebakaran tersebut sehingga api dapat dikawal pada jam 1.07 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 1.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, empat penghuni rumah berjaya menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Maklumat awal mendapati kebakaran bermula dari bilik tidur,” katanya.

Bagaimanapun, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. ― DayakDaily