ASAJAYA,17 Mac: Sebuah lori dilaporkan terbabas sehingga menyebabkan pemandunya maut dalam satu kemalangan kendiri di Kilometer 29 Kota Samarahan-Sadong Jaya hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata pemandu lori berkenaan berusia 54 tahun dan berasal dari Siburan, Jalan Kuching-Serian.
Katanya, mangsa semasa kejadian dari arah Asajaya menuju ke Sadong Jaya apabila dipercayai gagal mengawal lorinya itu sehingga terbabas dan tumbang di dalam parit.
Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dengan kecederaan di bahagian dada akibat terkena ‘steering’.
Difahamkan mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.
Kes masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily