Oleh Dean Adam
SIBU, Nov 5: Seorang pemandu lori kontena berdepan detik mencemaskan apabila kenderaan berat yang dipandunya terbakar dalam satu kejadian di Jalan Bawang Assan di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10.28 pagi itu telah mengakibatkan bahagian kontena tersebut terbakar kira-kira 40 peratus, manakala tayar belakang kenderaan terbabit musnah 100 peratus.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, Shahrulnizam Wailie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 10.30 pagi.
Katanya, sejurus itu, sepasukan enam anggota bomba bergegas ke lokasi untuk melakukan operasi memadamkan kebakaran.
“Apabila tiba, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar tayar kenderaan berkenaan sebelum merebak ke bahagian kontena.
“Pasukan bomba kemudian bertindak mengawal kebakaran bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya di sini hari ini.
Shahrulnizam menambah, pemeriksaan mendapati pemandu lori sempat keluar dari kenderaan berkenaan untuk menyelamatkan diri.
“Buat masa ini pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran berkenaan dan kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan lain.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 11.20 pagi selepas mendapati kawasan kejadian selamat untuk pengguna jalan lain,” katanya. — DayakDaily