SARATOK, 29 Nov: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas terlibat kemalangan membabitkan sebuah lori di Kilometer 8, Jalan Saratok-Sarikei hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 12.59 tengah malam.
Katanya, mangsa semasa kejadian memandu sebuah kereta jenis Perodua Axia.
“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah lori 3 tan muatan alat ganti kereta dengan sebuah Perodua Axia.
“Mangsa merupakan pemandu Perodua Axia, dia tersepit di dalam kereta dan pihak Bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa oleh kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Sementara itu, pemandu dan kalindan lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi tamat pada jam 2 pagi tadi dan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok diketuai Pegawai Bomba Kanan Nasir Darahman kemudian beredar balik ke balai. — DayakDaily