Perlukan Kerajaan yang kuat, GPS jawapannya

Awang Tengah berucap di Majlis Perasmian Bangunan Pasar Tamu Lawas pada Ahad (28 Nov 2021). Foto: Ukas

KUCHING, 29 Nov: Dalam memastikan kestabilan politik di Sarawak terus dipelihara, perpaduan dan kerjasama rakyat sangat penting, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Awang berkata, ini dapat dilihat hari ini di bawah Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di mana rakyatnya hidup harmoni, politik yang stabil dan keselamatan rakyatnya terpelihara.

Katanya, ia tidak seperti Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bukan sahaja memerintah selama 22 bulan, tetapi juga banyak membatalkan projek pembangunan di Sarawak termasuk pembinaan Lapangan Terbang Baharu Lawas.


“Apa yang penting ialah mengangkat darjat dan martabat kita ini.

“Kita perlu kerajaan yang kuat dan kukuh. Kita perlukan kestabilan politik. Kita perlu keharmonian hidup dalam masyarakat. Kita perlu keselamatan.

“Kita harus belajar (dari) 22 bulan pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Banyak projek dibatalkan termasuk rancangan untuk membuat Lapangan Terbang Baharu Lawas.

“Tapi, syukur alhamdulillah Kerajaan Sarawak akan meneruskan usaha membangunkan Lapangan Terbang Baharu Lawas ini,” katanya di Majlis Perasmian Bangunan Pasar Tamu Lawas semalam.

Jelas Awang Tengah yang juga penyandang DUN Bukit Sari, baru-baru ini dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memperlihatkan PH dan parti gabungannya telah ditolak rakyat Melaka.

Ini disebabkan kesedaran rakyat Melaka terhadap kesan pemerintahan 22 bulan PH dalam mentadbir negara.

“Kita lihat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang baharu sahaja selesai. Disebabkan oleh kesedaran rakyat (tentang) 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH), mereka tolak parti-parti gabungan PH termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR),” jelasnya.

Pasar Tamu Lawas ini dibina dalam dua peringkat dengan kos keseluruhan berjumlah RM18 juta.

Turut hadir sama Penyandang DUN Batu Danau Palu@Paulus Gumbang. — DayakDaily