Oleh Dean Adam
SAMALAJU, Feb 22: Sebuah kereta jenis Proton Iriz yang dipercayai telah dicuri dua hari lepas telah dijumpai terbakar di Jalan Bintulu-Bakun, bypass Ladang Damai Sime Darby, di sini semalam.
Kenderaan berkenaan telah musnah terbakar 100 peratus.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.24 petang.
Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.
“Apabila sampai di lokasi, anggota bomba mendapati sebuah kereta Proton Iriz sedang terbakar.
“Pasukan bomba seterusnya bertindak memadam kebakaran tersebut dengan menggunakan dua alat pemadam api mudah alih jenis ABC yang terdapat dalam jentera,” katanya di sini semalam.
Jurucakap sama menambah, jentera Scania tidak dapat masuk ke lokasi dan pasukan bomba hanya membawa alat pemadam api tersebut menggunakan kenderaan pacuan empat roda milik polis bantuan ladang tersebut.
Katanya, operasi ditamatkan selepas keadaan di lokasi kejadian terkawal. — DayakDaily