Program kesedaran wabak rabies giat dilakukan

Sebahagian daripada ketua kaum, ketua masyarakat, kaunselor dam ahli jawatankuasa kampung merakamkan gambar kenangan.

BAU, Feb 21: Seiring dengan penularan wabak rabies yang melanda daerah-daerah di Sarawak sejak tahun 2017, pihak Jawatankuasa Bencana Negeri telah mengadakan beberapa kempen dan tindakan yang berterusan untuk membendung dan memantau penyebaran wabak ini.

Program kesedaran wabak rabies merupakan salah satu pengisian kempen yang dianjurkan pada tahun ini, di mana intipati kempen ini adalah dengan mengadakan beberapa siri ceramah berkenaan kawalan penyakit rabies ke setiap daerah yang terlibat.

Program kempen pertama telah berjaya dilaksanakan pagi ini bertempat di Kampung Bogag, Bau dengan penglibatan ketua-ketua kaum, ketua-ketua masyarakat, kaunselor-kauselor dan ahli jawatankuasa kampung.


Ceramah yang disampaikan oleh Pegawai Perubatan Daerah Bau, Dr Theresa Lona Abel dan Pegawai Veterinari Sarawak, Dr Nicholas Jenek menekankan tentang kawalan penyakit rabies dari sudut manusia dan haiwan.

Menurut Pegawai Daerah Bau merangkap Pengerusi Jawantakuasa Bencana Peringkat Daerah, Anielia Siam, kempen hari ini menumpukan penerangan yang lebih terperinci kepada peranan ketua kaum, ketua masyarakat dan ahli majlis untuk menyebarkan kesedaran wabak rabies ini kepada masyarakat di bawah seliaan masing-masing.

Beliau berharap dengan penjelasan daripada ketua masing-masing, masyarakat akan lebih bertanggungjawab dalam memastikan pencegahan penyebaran wabak ini.

Manakala dalam ceramah yang disampaikan oleh Dr Theresa, beliau menjelaskan virus rabies lazimnya merebak melalui air liur haiwan yang dijangkiti rabies apabila haiwan tersebut menggigit atau mencakar manusia. Ia juga boleh disebarkan apabila haiwan yang dijangkiti rabies menjilat pada kesan calar dan luka pada kulit manusia atau mamalia lain. Menurut beliau lagi, rabies boleh menjangkiti semua mamalia termasuk manusia.

Dr Theresa turut menekankan bahawa tindakan yang perlu dibuat sekiranya terkena gigitan adalah dengan segera mencuci bahagian tubuh yang digigit dengan sabun dan dialirkan dengan air bersih selama 15 minit. Ia kemudiannya disusuli dengan rawatan segera dari hospital atau klinik yang berhampiran.

Kesedaran pemilik haiwan kesayangan pula ditekankan oleh Dr Nicholas di dalam ceramahnya dalam usaha untuk mencegah wabak rabies.

Dr Nicholas menekankan supaya pemilik haiwan bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan haiwan peliharaan mereka dari segi pemakanan, tempat tinggal yang selesa dan juga penjagaan kesihatan termasuk suntikan vaksinasi-vaksinasi secara berkala. Di samping itu, Dr Nicholas berharap supaya haiwan-haiwan peliharaan ini dijaga dan disayangi selayaknya sebagai keluarga sendiri.

Pemilik yang bertanggungjawab harus memastikan haiwan kesayangannya di vaksin, dilesenkan malah digalakkan untuk dikembiri bagi mengelakkan pembiakan yang tidak terkawal, tambah beliau lagi.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Negeri Sarawak, Ajes Tuah dan Pegawai Penerangan Daerah Bau, Sumardi Sugiman. ā€” DayakDaily