Pemandu Grab wanita disamun lelaki kononnya jadi pelanggan

Kereta Grab. — DayakDaily.com file pic.
Advertisement

KOTA SAMARAHAN, Mac 24: Seorang pemandu Grab berdepan detik mencemaskan apabila dia diacukan dengan sebilah parang yang kemudian diletakkan pada bahagian lehernya dalam satu kejadian malam tadi.

Tidak cukup dengan itu, pemandu Grab wanita tersebut turut mengalami kerugian selepas kereta Perodua Myvi miliknya dilarikan oleh seorang suspek lelaki.

Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian, mangsa telah menerima permintaan seorang daripada pelanggan atas nama Roza untuk menghantarnya dari Stapok Lorong 14 ke Sport Arena Batu 7, Jalan Stakan Kuching.

Advertisement

Katanya, kemudian pengadu telah menjemput pelangan tersebut iaitu seorang lelaki serta hantar ke destinasi.

“Sebaik sampai di destinasi, suspek tersebut telah minta pengadu hantarnya ke Muara Tuang pula untuk berjumpa kawan bagi mengambil motosikalnya.

“Tetapi, ketika sampai di hadapan kilang San Swee Fatt Muara Tuang Kota Samarahan, tiba-tiba lelaki tersebut telah mengeluarkan sebilah parang dan letak di bahagian leher pengadu serta minta pengadu keluar dari kereta,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Dsp. Lee Chong Chern mengesahkan menerima laporan kejadian.

Katanya, suspek tersebut telah melarikan kereta mangsa serta beberapa barangan yang berada di dalam kereta wanita tersebut.

“Selain sebuah kereta jenis Perodua Myvi 1.5 SE (Auto) warna hitam, suspek juga melarikan sebuah telefon bimbit jenama Vivo, salinan sijil milik anak mangsa dan salinan sijil kesihatan dikeluarkan oleh MPKS.

“Hasil siasatan awal, pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Suspek dipercayai berumur dalam lingkungan 20-30 tahun,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement