RM3.5 juta diluluskan untuk pembinaan pasar baru di pekan Simunjan

Nancy (dua dari kiri) menyampaikan sijil penyertaan kepada penduduk Simunjan yang membuka gerai pameran di Hari Produktiviti Daerah Simunjan 2018.

SIMUNJAN, Mac 24: Kerajaan pusat sudah meluluskan projek pembinaan satu pasar baru setinggi dua tingkat dengan kos sebanyak RM3.5 juta di pekan Simunjan dan ketika ini sedang mencari tapak tanah bagi membina pasar terbabit.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri berkata peruntukkan pembinaan pasar itu akan disalurkan kerajaan pusat melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KKBPKT).

“Saya tiada butiran pelan pasar baru terbabit tetapi ia akan setinggi dua tingkat dengan tingkat bawah untuk gerai menjual barangan makanan manakala tingkat atas untuk gerai menjual pakaian atau barangan kering lain. Pasar itu akan mempunyai ruang berniaga mencukupi bagi digunakan peniaga di sekitar pekan ini serta peniaga yang datang dari kawasan lain,” katanya selepas merasmikan Hari Produktiviti Daerah Simunjan 2018 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Dewan Mesra Simunjan, pekan Simunjan, di sini, hari ini.


Juga menghadiri acara terbabit ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pengarah MPC Wilayah Sarawak Tengku Azmi Tengku Majid, Pegawai Daerah Simunjan Abdul Khalid Manap, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Geoffrey Ramji dan Temengong Anthony Nipak.

Nancy berkata pembinaan pasar baru tersebut diperlukan untuk pekan Simunjan berikutan ramai peniaga kecilan di pekan terbabit terpaksa menjalankan perniagaan di tepi jalan kerana kekurangan premis perniagaan yang boleh digunakan mereka.

Pasar basah Simunjan yang akan dinaiktaraf dengan kos sebanyak RM1 juta.

“Ketika ini kami sedang mencari tapak tanah bagi projek pasar terbabit bersama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak dan projek akan bermula selepas tapak tanahnya diperolehi. Saya tidak ada butiran bila pasar terbabit dijangka siap tetapi ia akan disiapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK-11) ini,” katanya.

Disamping itu, Nancy juga mendedahkan kerajaan pusat sudah meluluskan projek menaiktaraf pasar basah di pekan Simunjan dengan kos RM1 juta yang akan dilaksanakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan juga projek menaiktaraf pasar malam pekan itu supaya lebih teratur dengan kos RM1juta, juga dilaksanakan melalui peruntukan (KKBPKT). Kedua-dua projek itu dijangka bermula tahun ini.

“Ini semua bukan projek cakap kosong, kerana sudah diluluskan kerajaan pusat dan sedang dalam proses memulakan pembinaanya bagi menambah kemudahan berniaga yang ada di pekan Simunjan,” katanya, sambil menambah projek terbabit telah diusahakannya bersama Awla. — DayakDaily