Pemakaian bahasa pada papan tanda beri keselesaan pada pelancong – Abdul Karim

Abdul Karim (tengah) pada sidang media di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 26 Nov: Pemakaian papan tanda dwi bahasa pada jalan atau kedai tidak membawa impak besar tetapi memberi keselasaan kepada pelancong, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut beliau, penguatkuasaan berhubung peraturan pemakaian papan tanda adalah tertakluk kepada undang-undang.

“Tiada masalah kita pakai dwi bahasa di papan tanda jalan.

Advertisement

“Seperti di Sarawak kita ada dua bahasa pilihan iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, maka kita letak dua bahasa pada papan tanda.

“Kalau hendak pakai 34 bahasa etnik Sarawak, kita letaklah maka papan tanda jadi besar,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.

Tambah Abdul Karim, memadailah dengan undang-undang sedia ada seperti yang digunapakai oleh setiap pihak perbandaran.

Katanya, jika ada keperluan undang-undang menggunapakai dwi bahasa (Melayu dan Bahasa Inggeris), maka ia wajar dilaksanakan.

Atau ujar beliau, jika ada penambahan untuk menggunapakai bahasa Mandarin, maka letaklah tiga bahasa.

Terdahulu, media melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Dato Sri Tiong King Sing mengkritik penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap papan tanda iklan berbahasa Cina kerana ia mencemarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara berbilang budaya.

King Sing menyifatkan ia sebagai satu langkah kontroversi yang boleh menyebabkan rasa tidak puas hati yang ketara dan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan beberapa pelancong antarabangsa.

Pada Khamis lalu, media melaporkan DBKL melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan, termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.

“Sehingga di perbahasan Parlimen, ada yang mengatakan bahawa menteri ini adalah menteri untuk negara Malaysia atau China.

“Sebab beliau (King Sing) ada tegur supaya DBKL tak perlulah nak kuatkuasakan dengan tegas sebab beliau mahu tarik lebih ramai lagi pelancong dari China.

“Saya tak kata siapa yang salah atau betul, tapi kita ada undang undang berhubung papan tanda,” kata Abdul Karim. — DayakDaily

Advertisement