Oleh: Cornelius Kadir Edison
KAPIT, 22 Dis: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi berharap keperluan untuk membangunkan dan mengatasi masalah yang dihadapi di Kapit dapat diatasi sebaik-baiknya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata demikian selepas menghadiri satu mesyuarat bersama Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Tan Sri Dr James Jemut Masing, wakil-wakil rakyat di Bahagian Kapit, ADUN Bukit Goram, Jefferson Jamit dan ADUN Pelagus, Wilson Nyabong di sini semalam.
Katanya antara yang dibincangkan adalah perkara atau pembangunan yang akan dicadangkan untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
“Antara yang disentuh dalam mesyuarat itu termasuk pembangunan infrastruktur jalanraya di Kapit, pembinaan pejabat pertanian baharu, cadangan penambahan kuarters kediaman penjawat awam negeri serta isu-isu berbangkit oleh pelbagai jabatan kerajaan.
”Mesyuarat terbabit memberikan hasil yang dimahukan oleh semua pihak sebagai rangkuman apa yang telah dilaksanakan pada tahun ini selain merancang perkara yang bakal dilaksanakan pada tahun hadapan.” katanya. — DayakDaily