Pelantikan Jaziri sebagai senator satu penghargaan

Jaziri mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Yang di Pertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim hari ini (21 Dis, 2020).

KUCHING, 21 Dis: Pelantikan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak Jaziri Alkaf Abdillah Suffian sebagai Ahli Dewan Negara merupakan satu penghargaan yang amat bermakna kepada Bersatu Sarawak, kata ketua Pemuda (Armada) Bersatu Sarawak, Alexander Frusis.

“Bersatu Sarawak mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian di atas pelantikan sebagai Ahli Dewan Negara hari ini.

“Pada yang sama, Bersatu Sarawak mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin di atas peluang dan ruang kepada YB Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian mencurah bakti untuk Malaysia dan Sarawak amnya,” kata Alexander dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Alexander lagi, pelantikan Jaziri sebagai Ahli Dewan Negara adalah satu penghargaan yang amat bermakna kepada Bersatu Sarawak.

“Bersatu Sarawak melihat perlantikkan ini sebagai satu bentuk pengiktirafan kepada seorang aktivis pendidikan, belia dan golongan professional. Dan sudah tentunya, perlantikkan ini memberi suntikan semangat kepada Perikatan Nasional di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin,” jelas Alexander.


Jaziri, 42, berkelulusan dalam seni bina dari University of Auckland, New Zealand, kini merupakan pengerusi My Prodigy. Beliau juga merupakan ahli Lembaga Pelabuhan Bintulu.

Selain Jaziri, seorang lagi senator dari Melaka, Datuk Wira Koh Nai Kwong telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong hari ini. — DayakDaily