Bobby menjemput Dayak dalam PKR Sarawak sertai PBDS

Bobby William

KUCHING, 21 Dis: Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Bobby William berkata bahawa ahli-ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berbangsa Dayak harus kembali atau menyertai PBDS.

“Bagi saya, maksud tersirat yang ingin disampaikan oleh Larry (Sng) adalah beliau mengakui bahawa PKR Sarawak dimonopoli oleh orang Dayak, dan beliau juga mengakui bahawa Dayak adalah majoriti di Sarawak.

“Oleh yang demikian, adalah lebih baik saudara-saudari dalam PKR memperkasakan PBDS,” kata Bobby dalam satu kenyataan hari ini.


Bobby berkata demikian ketika mengulas mengenai pelepasan jawatan tertinggi PKR di Sarawak oleh Sng dalam laman Facebook beliau (Sng).

Tambah Bobby, beliau tidak menyangkal kewibawaan PKR, malah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menggunakan simbol PKR pada PRU yang lepas di mana mereka menang.

“Ini membuktikan bahawa PKR diterima rakyat. Tetapi, berlainan pula dengan perjuangan Dayak.

“Perjuangan bangsa Dayak tidak relevan dalam PKR, kerana PKR adalah parti untuk semua kaum, dan adalah tidak logik dan wajar sekiranya hanya perjuangan Dayak diutamakan dalam PKR.

“Oleh itu, perjuangan Dayak tulen hanya boleh diperjuangankan dalam PBDS,” jelas beliau.

Berikutan itu, Bobby juga menyatakan kesediaan beliau untuk bertemu dan bersemuka dengan Sng berkenaan kepincangan hal politik tersebut dan berunding mengenai kedudukan politik Dayak.

“Kita boleh melihat di manakah persamaan dan perbezaan yang kita miliki,” kata Bobby.

Beliau juga menyeru agar Dayak bersatu dan harus segera sedar dalam kepincangan politik. Jangan sesekali jawatan dalam parti mengatasi prinsip dasar perjuangan seseorang. — DayakDaily