Pelancong dari Johor cemas, sesak nafas ketika berkunjung ke Taman Negara Lambir

Petugas perubatan memberi rawatan kepada pelancong Johor.

Oleh Dean Adam

MIRI, Mei 22: Seorang pelancong dari Johor berdepan detik mencemaskan selepas dipercayai mengalami sesak nafas semasa berkunjung ke Taman Negara Lambir di sini hari ini.

Bagaimanapun, remaja lelaki berusia 19 tahun itu dilaporkan dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan dari pasukan bomba.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubungi kejadian itu pada pukul 2.42 petang.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati mangsa telah berada di laluan masuk Taman Negara Lambir.

“Mangsa telah dibantu oleh seorang warga Denmark yang kebetulan melalui jalan yang sama. Anggota EMRS terus membuat pemeriksaan terhadap mangsa,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap menambah, mangsa kemudian diserahkan kepada petugas perubatan untuk tindakan lanjut.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 3.30 petang,” katanya. – DayakDaily