Polis Sarawak buru 96 individu terlibat dalam kes jenayah komersil

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mei 22: Polis Sarawak kini sedang mengesan seramai 96 individu yang disyaki terlibat dalam pelbagai kes jenayah komersil sejak 2000 hingga kini.

Kesemua individu yang dikesan itu terdiri daripada 71 orang lelaki manakala selebihnya 25 lagi wanita.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, suspek yang paling lama diburu oleh polis dikenal pasti sebagai Wong Ha Huon, 39, dari Miri.

Jelasnya, Wong dikesan bagi membantu siasatan kes melibatkan penjualan VCD/DVD lucah sejak 2000.

“Individu yang paling dikehendaki pula ialah Mohd Aszlan Mat Muda, berusia 30 tahun dan berasal dari Lundu.

“Suspek ini merekodkan 34 kesalahan kerana disyaki terlibat dalam penipuan pelancongan dengan jumlah kerugian kira-kira RM126,000,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa Kamal memberitahu, penama-penama tersebut diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Katanya, masyarakat umum yang mempunyai maklumat kedua-dua individu berkenaan juga dimohon tampil ke balai polis bagi tindakan selanjutnya.

“Nama-nama individu yang lain akan dimuatnaik dalam laman web polis bagi memudahkan tindakan pengesanan oleh masyarakat umum,” katanya. -DayakDaily