Pelancaran logo GPS tanda permulaan era baharu politik Sarawak

Dr Hazland Abang Hipni

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 13: Pelancaran logo dan lagu Gabungan Parti Sarawak (GPS) oleh Pengerusi GPS merangkap Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini menandakan bermulanya era baharu politik Sarawak yang berteraskan 100 peratus anak-anak Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni berkata, mulai saat ini, rakyat Sarawak mempunyai kepimpinan baharu sesuai dengan mottonya,’Utamakan Sarawak’ seperti mana bait-bait lagu GPS yang dicipta Narawi Rashidi.


Katanya, dalam lirik lagu itu, penulisnya menekankan bahawa GPS bersama rakyat negeri ini membina Sarawak yang gemilang dengan sokongan rakyat pelbagai kaum hidup harmoni dan hak Sarawak terus dipertahankan.

“Pemimpin GPS perlu menerima hakikat bahawa politik Sarawak hari ini berbeza berbanding 55 tahun lalu ketika bersama Perikatan dan Barisan Nasional (BN).

“Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang menerajui GPS perlu membuang perasaan selesa dan mula bekerja keras mendampingi hati rakyat selepas perubahan landskap politik pada 9 Mei 2018,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dr Hazland yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB menambah, seperti yang pernah disuarakan Pengerusi GPS sebelum ini, penubuhan gabungan parti politik berteraskan anak-anak tempatan Sarawak itu adalah untuk memperjuangkan hak-hak Sarawak seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, GPS tidak sesekali menggunakan pendekatan yang keras untuk mendapatkan kembali hak-hak Sarawak daripada merajaan Persekutuan sebaliknya mengambil pendekatan berkrompomi dan bertolak ansur selagi ia dapat dilakukan demi memastikan hak-hak yang diperjuangkan ini diambil tindakan sewajarnya.

“Dalam memastikan GPS relevan dalam masyarakat di peringkat akar umbi, pemimpin GPS harus berubah dengan kurang berprotokol bagi memudahkan rakyat mudah mendekati.

“Sudah tiba masanya perilaku lama semasa dalam BN dahulu dibuang dan kini bersama rakyat memperjuangkan hak dan terus mendampingi rakyat membangunkan negeri Sarawak tercinta ini,” ujarnya lagi. — DayakDaily