Pelaksanaan PKPP semarakkan semula industri pelancongan, kata Nancy

Datuk Seri Nancy Shukri

KUCHING, Jun 7: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri menyifatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun ini selaras dengan fasa penjanaan semula ekonomi negara.

Katanya, dengan pelaksanaan PKPP, tiada lagi sekatan rentas negeri dan pelancongan domestik akan dibenarkan.

“Langkah ini amat bertepatan pada masanya kerana sektor pelancongan berupaya membantu negara mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi.


“Ini adalah kerana sektor pelancongan adalah sektor yang melibatkan sub-sektor ekonomi lain seperti perhotelan, inap desa, pengangkutan, pengusaha makanan di restoran dan gerai serta pemandu pelancong,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Justeru sebagai menyokong pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau menyarankan seluruh rakyat mengambil peluang ini untuk sama-sama menyemarakkan semula industri pelancongan, seni, budaya dan warisan negara.

Katanya, keunikan produk-produk pelancongan yang ada di negara ini adalah untuk semua kunjungi, terokai dan menikmati, seperti muzium, keindahan alam semulajadi dan hasil kraftangan.

“Kepada penggiat industri pelancongan yang terdiri dari pelbagai segmen ekonomi dan masyarakat, teruskan usaha untuk menghasilkan produk yang kreatif dan inovatif,” ujar Nancy. — DayakDaily