KUCHING, 12 Okt: Kerajaan menyambung tempoh pelaksanaan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang akan berkuatkuasa pada 12 Oktober 2022.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof berkata, pelaksanaan berdasarkan dengan kadar baru pemberian subsidi kepada telur ayam sebanyak RM0.08 sebiji kepada peladang.
Manakala harga maksimum ayam pula adalah kekal bagi semua peringkat meliputi ladang,borong dan runcit.
“Ini berpunca daripada kenaikan kos pengeluaran dan menyebabkan keperluan penyelarasan semula harga telur ayam di peringkat ladang dan borong.
“Ini membolehkan harga runcit telur ayam dikekalkan tanpa sebarang kenaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berkuatkuasa serta merta, kedudukan harga pada setiap rantaian telur ayam di peringkat ladang ialah RM0.39 bagi telur gred A, RM0.37 (telur gred B) dan RM0.35 (telur gred C).
Bagi peringkat borong, harga ialah RM0.42 bagi telur gred A, RM0.40 (telur gred B) dan RM0.38 (telur gred C).
Manakala bagi peringkat runcit pula, harga bagi telur gred A ialah RM0.45, gred B (RM0. 43) dan telur gred C ialah RM0.41. ā DayakDaily