KUCHING, 13 Nov: Pelaksanaan Gaji Minimum (PGM) RM1,700 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2025 tidak terpakai kepada penjawat awam Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pelaksanaan gaji minimum bagi Penjawat Awam Sarawak adalah tertakluk kepada surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.
“Kerajaan Sarawak telah bersetuju menerimapakai secara prinsip pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) melalui Pekeliling Perjawatan Negeri Sarawak Bilangan 15 Tahun 2024 yang dikeluarkan pada 15 Oktober 2024.
“Untuk Gred 1, Gaji Permulaan Terendah (GPT) iaitu gaji pokok adalah RM1,500 sebulan dan turut menikmati elaun-elaun sebanyak RM685 sebulan.
“Ini menjadikan jumlah pendapatan kasar adalah RM2,185 sebulan,” katanya pada sesi pertanyaan di Persidangan Dewan Undangan Sarawak (DUS) hari ini.
Tambah Hasidah, PGM terpakai kepada semua pekerja termasuk pekerja bukan warganegara di sektor swasta kecuali perkhidmatan domestik dan kontrak perantisan.
” Manakala penetapan GPT baharu katanya hanya terpakai kepada pegawai yang menerima opsyen SSPA,” ujar Hasidah. —
DayakDaily