Pelaksanaan ekonomi baharu tarik banyak pelaburan ke Sarawak — TYT

Sarawak Legislative Assembly Complex (file photo)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 15 Mei: Usaha kerajaan Sarawak melaksanakan ekonomi baru berasaskan teknologi hijau telah menarik banyak pelaburan ke Sarawak.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, usaha ini membantu menjaga dan memelihara alam sekitar.


“Saya juga menyambut baik usaha kerajaan Sarawak meningkatkan penyelidikan dan pembangunan ke atas sumber asli Sarawak.

“Perniagaan karbon dan penyelidikan oleh Sarawak Biodiversity Centre telah menghasilkan sumber ekonomi baru yang akan menggandakan bukan sahaja pendapatan Sarawak tetapi bakat anak-anak Sarawak khusus dalam bidang perkhidmatan dan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini hari ini.

Sementara itu, beliau juga mengalu-alukan usaha kerajaan Sarawak untuk meningkatkan pengeluaran makanan tempatan.

Melalui usaha itu, Taib yakin ia akan menjadikan Sarawak pengeksport makanan utama selain membantu meningkatkan pendapatan golongan petani.

Tambah Taib, Sarawak mengamalkan ekonomi terbuka dengan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan berkualiti disediakan.

“Saya menyeru rakyat terutama golongan muda untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran.

“Ini penting untuk meningkat daya saing kita merebut peluang ini. Ia juga penting bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup,” ujar beliau. — DayakDaily