BAU, April 28: Pelakon bintang aksi veteran Hollywood, Steven Seagal yang mengunjungi Sarawak sempena Festival Filem dan Anugerah Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2019 telah sempat melawat ke Pekan Siniawan selama sekitar 25 minit, di sini, tengahari, hari ini.
Seagal yang masuk hari kelimanya berada di Sarawak telah tiba di pekan itu yang terletak kira-kira 25km dari bandar raya Kuching sekitar jam 12.50 tengahari dan disambut meriah dan gembira ratusan penduduk Siniawan pelbagai kaum yang sanggup menunggu seawal sejam bagi menyaksikan sendiri pelakon terkenal itu di pekan mereka.
Sejurus itu, Seagal yang dikawal rapi polis dan pengawal peribadi telah berjalan sepanjang deretan kedai kayu lama pekan itu yang masih mengekalkan struktur asalnya berusia sekitar seratus tahun dan seakan pekan koboi serta ketika ini semakin popular sebagai tempat menjamu selera waktu malam serta menjadi tumpuan pelancong.
Bintang aksi veteran Hollywood itu telah berjalan di pekan terbabit sehingga ke Kuil Lama Buddhist Siniawan Swee Guk Kung dan kemudian bersembahyang di kuil itu sebelum melepaskan anak ikan dan memberi makan ikan di tebingan sungai berhampiran kuil itu. Beliau kemudian bertolak sekitar jam 1.15 petang ke Kampung Buddhist Siniawan bagi melawat kampung terbabit dan makan tengahari di sana.
Seagal petang tadi kemudian meneruskan lawatannya ke Pusat Hidupan Liar Semenggoh di Padawan bagi melihat spesis haiwan orang utan dan menyertai majlis menanam pokok manakala sebelah malam pula akan menghadiri majlis makan Sarawak River Cruise di atas kapal anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak di Tebingan Kuching.
Pelakon tersebut esok dijadualkan menghadiri majlis makan tengahari bersama delagasi Sarawak dan Asean yang menyertai Persidangan PR Antarabangsa Asean dan kemudian mengakhiri kunjungannya ke negeri ini dengan melawat Fort Margherita di bandaraya Kuching pada sebelah petang sebelum dijadualkan berlepas ke Singapura pagi lusa. — DayakDaily