Dua usul kementerian dibentangkan pada sidang DUN

Asfia (tengah) pada sidang media di Ibu Pejabat PBB di Kuching. Turut kelihatan Gerawat (kiri) dan Semawi (kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 28: Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-18 yang bermula April 29 sehingga Mei 9 ini bakal menyaksikan dua usul kementerian dibentangkan.

Menurut Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, usul pertama berkenaan laporan Jawatankuasa Hak Keistimewaan DUN terhadap ADUN Padungan, Wong King Wei yang membuat kenyataan mencabar Speaker semasa persidangan DUN yang lepas.


“Usul kedua adalah berkenaan pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) oleh Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali,’katanya.

Asfia berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Pra-Persidangan DUN di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hari ini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Mengulas perkara yang sama, Asfia menambah kedua-dua usul kementerian itu akan dibaca pada Selasa, April 30.

Sementara itu, beliau juga memberitahu yang dua Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan akan dibentangkan semasa sidang kali ini.

Kedua-dua RUU tersebut iaitu Perbekalan Tambahan 2018 (2019) dan Perbekalan Tambahan 2019 (2019) akan dibentangkan Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh.

“Bacaan pertama kedua-dua RUU akan dibuat pada April 30 dengan bacaan kedua dan ketiga pada Mei 3,” katanya.

Selain itu, Asfia juga memaklumkan yang ADUN Batu Lintang See Chee How akan membawa usul berkenaan cadangan pindahan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dari Kuching ke Kota Kinabalu.

ADUN Pujut, Dr Ting Tiong Choon pula akan membawa usul pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Perasmian persidangan akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada April 29 dengan Acara Pemeriksaan Kawalan Kehormat pukul 9.30 pagi di Dataran DUN.

Persidangan selama 8 hari ini menerima 379 soalan lisan dan bertulis dari ahli-ahli yang berhormat.

“Sejumlah 307 soalan dibekalkan dengan jawapan lisan dan 72 lagi bertulis.

“Pejabat Ketua Menteri menerima soalan paling banyak,” kata Asfia.

Turut hadir pada sidang media Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Gerawat Gala dan Setiausaha DUN Semawi Mohamad. ā€” DayakDaily