KUCHING,18 Okt: Seorang wanita yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan berhampiran sebuah pusat hiburan disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata mangsa, 24 tahun, dihantar oleh pekerja pusat hiburan tersebut dan dirujuk ke pusat perubatan sekitar jam 3.29 pagi pada 16 Oktober lalu.
“Namun dia telah disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke pusat perubatan oleh doktor yang bertugas.
“Mangsa merupakan penuntut di sebuah pusat pengajian swasta di ibu kota,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hasil siasatan awal pihak polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Keterangan keluarga mangsa dan beberapa saksi lain telah selesai diambil.
“Pihak polis komited menjalankan siasatan menyeluruh sementara menunggu laporan bedah siasat yang telah dijalankan pada 17 Oktober 2023,” katanya.
Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak memberikan sebarang spekulasi untuk menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
“Polis turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” kata Ahsmon. — DayakDaily