Pelajar Tingkatan 1 maut, bapa parah dalam kemalangan di Julau

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

JULAU, 8 Mei: Seorang pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Julau maut, manakala bapanya cedera parah selepas terlibat dalam satu kemalangan di Kilometer 502 Jalan KJD, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Julau, DSP Andam Sulin berkata semasa kejadian mangsa bersama bapanya menaiki sebuah motosikal pada jam 1.40 petang.

Katanya, motosikal yang ditunggangi bapa mangsa berusia 35 tahun terbabit dipercayai terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.


“Pembonceng motosikal iaitu anak kepada penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik Hospital Sarikei, manakala penunggang motosikal mengalami cedera parah dan telah dihantar ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Sarikei untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa yang meninggal dunia berusia 13 tahun.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily