Pelajar SMK Augustine Betong cemas, termometer pecah semasa ujikaji dijalankan

Anggota bomba sedang membersihkan serpihan termometer yang pecah.
Advertisement

Oleh Dean Adam

BETONG, Julai 29: Pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Augustine Betong cemas apabila seunit termometer pecah di atas bilik makmal di sekolah berkenaan hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

Advertisement

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Betong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 11.40 pagi.

Katanya, sejurus itu sepasukan lapan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi khas berkenaan.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seunit termometer telah pecah di atas meja bilik makmal.

“Kejadian itu dipercayai berlaku apabila pelajar memanaskan termometer tersebut hingga terlalu panas semasa kelas sains semasa ujikaji sedang dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Henry menambah, operasi mencuci dan membersihkan sepihan termometer terus dijalankan oleh pasukan bomba sehingga selesai.

“Operasi khas berkenaan tamat sepenuhnya selepas keadaan di bilik makmal sekolah tersebut terkawal,” katanya. — DayakDaily

Advertisement