Bomba tangkap biawak masuk bilik mandi

Kelihatan seekor biawak yang masuk di dalam bilik mandi.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Julai 29: Sebuah keluarga cemas apabila seekor biawak masuk ke dalam bilik mandi di kediaman mereka di Muara Tabuan di sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.36 petang.

Katanya, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya kemudian diarahkan ke lokasi untuk melakukan operasi menangkap biawak itu.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati seekor biawak masih berada di dalam bilik air rumah berkenaan.

“Pasukan bomba kemudian bertindak menangkap biawak itu sebelum melepaskan haiwan berkenaan di habitat asalnya,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap biawak tersebut. — DayakDaily