Pelajar pun jadi mangsa ‘Macau scam’, rugi RM400

Royal Malaysia Police logo
Advertisement

Oleh Dean Adam

MIRI, Nov 28: Seorang pelajar turut menjadi mangsa penipuan ‘Macau scam’ apabila dia kerugian sebanyak RM400 akibat terpedaya dengan sindiket berkenaan semalam.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 21 tahun.

Advertisement

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa telah menerima panggilan daripada seorang lelaki kononnya dari Mahkamah Majistret Melaka.

Katanya, suspek kemudian memperkenalkan diri sebagai Mohammad Sufrizal dan memberitahu mangsa mempunyai hutang dengan Hong Leong Bank sebanyak RM10,000 dan juga tunggakan sebanyak RM8,795.75 selama enam bulan.

“Kemudian talian telefon disambungkan kononnya ke PDRM Melaka (06285422) sebelum seorang lelaki menyambut panggilan itu dan mengaku sebagai seorang anggota polis.

“Lelaki itu kemudian telah minta data peribadi mangsa seperti nombor kad pengenalan, nama penuh dan alamat rumah mangsa.

“Disebabkan panik, mangsa telah memberikan semua butir peribadi kepada lelaki berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, suspek kemudian mengatakan mangsa telah bekerjasama mengedar dadah dengan lelaki bernama Michel Ling dan menggunakan akaun Maybank miliknya untuk melakukan urusan jual-beli dadah.

Katanya, suspek seterusnya meminta mangsa mengosongkan wang di dalam akaun Maybank dengan memindahkan wang ke akaun RHB Bank atas nama Cristina A/P Thiruayana Kumar.

“Akibat panik, mangsa telah memindahkan wang berjumlah RM400 dari akaun Maybank miliknya ke akaun yang diberikan oleh suspek.

“Mangsa yang sedar dirinya tertipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily

Advertisement