Penyertaan Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak Ke-8 disambut baik

Peter (kanan) dan Datuk Abang Abdul Karim Tun Abang Openg (dua dari kanan) menunjukkan piala Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak Ke-8 (2017/2018) selepas mengadakan sidang media anugerah terbabit.

KUCHING, Nov 28: Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak Ke-8 (2017/2018) telah menerima keseluruhannya seramai 99 peserta terdiri dari kalangan pengusaha premis makanan, syarikat, pihak berkuasa tempatan dan wartawan dari seluruh negeri ini.

Controller Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Peter Sawal berkata peserta anugerah anjuran bersama NREB dan Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) terbabit terbahagi kepada pengusaha premis makanan seramai 57 peserta, syarikat (32 peserta), pihak berkuasa tempatan (6 peserta) dan wartawan (4 peserta).

“Majlis makan malam penyampaian Anugerah Alam Sekitar Ketua Menteri Sarawak Ke-8 (2017/2018) akan diadakan pada Disember 12, 2018 di Imperial Hotel Kuching dengan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) akan menyampaikan anugerah juara kepada seramai 11 pesertanya,” katanya ketika mengadakan sidang media anugerah terbabit bersama Presiden SBF, Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg di Menara Pelita, Petra Jaya, di sini, hari ini.


Peter berkata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pula akan menyampaikan anugerah emas kepada seramai 16 peserta manakala Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh akan menyampaikan anugerah merit kepada seramai sembilan peserta.

“Penerima anugerah itu akan menerima piala dan sijil dan mereka juga boleh mengunakan logo anugerah ini bagi tujuan publisiti dan promosi syarikat ataupun produk keluaran mereka,” katanya.

Katanya peserta terlibat dihakimi seramai 32 ahli jawatankuasa teknikal anugerah itu yang diketuai Professor Dr Lau Seng dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan bilangan peserta juga meningkat tahun ini berbanding seramai 75 peserta anugerah itu pada 2016.

Disamping itu anugerah kali ini juga adalah kali pertama akan disertai seramai 57 pengusaha premis makanan digredkan Kelas A pihak berkuasa tempatan dari seluruh negeri ini yang merupakan kategori baru anugerah itu.

“Seramai 57 premis makanan menyertai anugerah tahun ini dan kategori baharu kerana ketika ini premis terbabit sedang tumbuh pesat di semua pekan dan bandar di Sarawak, jadi kami perlu menyertakan mereka (dalam anugerah tersebut),” katanya.

Pihaknya berterima kasih kepada semua pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri ini yang telah mencalonkan pengusaha premis makanan dari kawasan pentabiran masing-masing. — DayakDaily