Pelajar miliki 24 paket ganja ditangkap bersama tiga remaja positif dadah di Samarahan

Dadah yang dirampas daripada suspek

Oleh Juetila Ozzy

Pelajar miliki 24 paket ganja ditangkap bersama tiga lagi remaja positif dadah di Samarahan

KOTA SAMARAHAN, 13 Feb: Seorang pelajar Tingkatan 4 sebuah sekolah menengah di Asajaya ditangkap kerana memiliki 24 paket disyaki berisi ganja pada Khamis lepas.


Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata suspek ditangkap dalam satu operasi bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah NarkotikD di Kampung Melayu, di sini iaitu sekitar jam 11.20 malam.

Jelasnya, suspek ditahan di simpang jalan kampung tersebut selepas dilihat mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas beg sandang suspek mendapati terdapat satu paket besar yang didalamnya terdapat 24 paket kecil berisi dedaun kering disyaki ganja seberat kira-kira 16.00 gram.

“Suspek kemudian ditahan dan dadah tersebut juga dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah.

Bagaimanapun, hasil soal siasat suspek membawa kepada penangkapan tiga lagi remaja lelaki berusia 14 hingga 18 tahun.

“Tiga lagi tangkapan dibuat selepas itu membabitkan seorang pelajar sebuah pusat kemahiran, pelajar Tingkatan 2 sebuah sekolah menengah di Asajaya dan seorang lagi penganggur.

“Saringan awal air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati positif dadah jenis ganja,” katanya.

Ketiga-tiga suspek kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, siasatan lanjut kes masih dijalankan dibawah Seksyen 6 ADB 1952. -DayakDaily

Dadah yang dirampas daripada suspek