Pekerja pembersihan maut dirempuh kereta semasa bekerja

Anggota bomba sedang mengangkat mayat mangsa.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Feb 8: Malang menimpa seorang pekerja pembersihan apabila dia maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang mengangkat sampah di Jalan Ong Tiang Swee di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 6.10 pagi itu mengakibatkan mangsa, Hamka Su’ud, 48, meninggal dunia akibat tercampak lalu tersangkut di antara tiang telefon dan pondok.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 6.11 pagi.

Jelasnya, sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

Anggota bomba sedang mengangkat mayat mangsa.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Waja telah melanggar seorang pekerja pembersihan yang sedang bertugas.

“Akibat pelanggaran tersebut mangsa telah tercampak lalu tersangkut  di antara tiang telefon dan pondok di bahu jalan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, pasukan bomba kemudian mengangkat mayat mangsa sebelum lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily