Pekerja maut ditimpa jentera berat

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang ditimpa jentera berat.

Oleh Dean Adam

MIRI, Jun 22: Malang menimpa seorang lelaki apabila dia maut dihempap jentera berat yang dikendalikannya dalam satu kejadian di ladang kelapa sawit di Jalan Miri-Bintulu, di sini.

Kejadian tersebut telah menyebabkan mangsa, Ugak Balan, 67, ditemui pekerja lain dalam keadaan maut ditimpa jentera berkenaan.


Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata sembilan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

Jelasnya, jarak dari balai bomba adalah sejauh 95 kilometer dan mengambil masa perjalanan hampir 2 jam 11 minit untuk tiba ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang ditimpa jentera berat.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis.

“Setiba di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki maut akibat ditimpa oleh sebuah jentolak.

“Anggota bomba kemudian bertindak  mengeluarkan mangsa daripada bawah jentera terbabit dengan menggunakan peralatan khas ‘hydraulic cutter’ dengan bantuan sebuah jentolak yang berada di lokasi berkenaan,” katanya di sini, hari ini.

Law menambah, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily