BETONG, Julai 9: Seorang pekerja ladang kelapa sawit maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah lagi motosikal lain di Jalan Tanjung Assam, Kampung Sebemban di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.35 pagi itu, lelaki warga Indonesia yang dikenali sebagai Darmin, 30-an, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan pulang dari Ladang Lingga.
Bagaimanapun, apabila sampai di lokasi kemalangan, motosikal yang ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang ditunggang seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun.
“Kesan perlanggaran itu telah mengakibatkan mangsa tercampak ke tengah jalan dan mengalami kecederaan parah.
“Lelaki warga emas terbabit pula hanya mengalami kecederaan pada tangannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Alexson menambah, lelaki tempatan yang cedera pada bahagian tangan kanannya kemudian dibawa ke Hospital Betong untuk mendapat rawatan selanjutnya.
Katanya, mangsa yang maut juga dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat.
“Kes ini masih dalam siasatan dan disiasat lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily