Tidak sempat sampai rumah, tukang kebun maut dirempuh Toyota Land Cruiser

Keadaan lokasi kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan Toyota Land Cruiser.

KUCHING, Julai 9: Seorang tukang kebun yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan Toyota Land Cruiser di Jalan Sultan Tengah di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu mengakibatkan mangsa, Basir Malik, 40, menemui ajal di tempat kemalangan akibat kecederaan parah pada anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Buntal, Santubong di sini.


Bagaimanapun katanya, apabila tiba di tempat kejadian, sebuah Toyota Land Cruiser yang bergerak dari Santubong menuju ke pusat bandar raya ini dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan lain di depannya.

“Namun, tindakan pemandu Toyota Land Cruiser yang berusia 55 tahun itu telah mengakibatkan berlakunya pertembungan dengan motosikal yang ditunggang mangsa.

“Kesan rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, pemandu kenderaan pacuan empat roda tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily