Pekerja ladang maut digilis lori sawit

Inilah lori sawit yang dinaiki mangsa sebelum dia terjatuh dan digilis.

MARUDI, Mei 20: Seorang pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia maut apabila digilis sebuah lori sawit dalam satu kejadian di Telliana Plantations, Bakong di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 petang itu, mangsa, Bakir Daeng Serang, 43, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, semasa kejadian itu, mangsa disyaki terjatuh dari tempat duduk penumpang sebelum digilis lori sawit jenis Jin Lu.


Katanya, mangsa kemudian digilis tayar kenderaan berat itu dan mengalami kecederaan parah pada anggota badannya.

“Bagaimanapun, pihak polis cuma menerima laporan kejadian tersebut pada pukul 10.52 malam tadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson menambah, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Marudi untuk tindakan lanjut.

Katanya, pihak polis telah merakam keterangan daripada pemandu lori untuk siasatan lanjut.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987,” katanya. — DayakDaily