Gempar biawak ‘gergasi’ masuk dalam tandas

Anggota APM menunjukkan biawak yang ditangkap di Kampung Hilir Sri Aman.

SRI AMAN, Mei 20: Kehadiran seekor biawak di dalam sebuah rumah di Kampung Hilir di sini hari ini telah mencetuskan suasana gempar di kampung berkenaan.

Biawak ‘gergasi’ itu telah dikesan merangkak masuk ke dalam tandas di sebuah rumah penduduk kampung di situ kira-kira pukul 12 tengah hari.

Panik dengan kehadiran reptilia tersebut, pemilik rumah berkenaan kemudian menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk menangkap haiwan berkenaan.

Sementara itu, Pegawai APM Sri Aman, Kapten Siti Huzaimah Ibrahim, sejurus pihaknya menerima laporan berhubung kehadiran biawak tersebut, sepasukan anggota APM diarahkan ke lokasi untuk melakukan tindakan susulan.

Katanya, sebaik tiba di kampung berkenaan, anggota APM mendapati reptilia itu masih berada di dalam tandas.


“Anggota APM kemudian bertindak menangkap reptilia itu dengan menggunakan alat penjerut disebabkan biawak tersebut bertindak agresif selain memiliki gigitan yang berbisa.

“Bagaimanapun, haiwan berkenaan berjaya ditangkap dalam tempoh kira-kira 10 minit,” katanya di sini hari ini.

Siti Huzaimah menambah, pasukan APM kemudian membawa reptilia ke pusat operasi daerah bagi tindakan selanjutnya.

“Kami akan menyerahkan biawak sepanjang kira-kira 2 meter itu kepada pihak Sarawak Forestry Corporation,” ujarnya. — DayakDaily

Share this article!